(Disunting semula – 21 Oktober 2007)
Salam kawan-kawan. Masih mood raya? Hehe…
Alhamdulillah, syukur pada Allah kerana masih mengizinkan kita semua menyambut hari penuh barakah, 1 Syawal. Alhamdulillah juga dipanjatkan kerana perjalanan kami sekeluarga sepanjang raya ini berjalan lancar. Harap-harap kawan-kawan yang lain pun begitu juga ya?
Kami tiba di kampung pada pagi Khamis, 11 Oktober. Perjalanan dari Kuala Lumpur sesudah subuh memang sangat lancar. Tiada lansung kesesakan. Cuma yang tak best, kata Kak Wa (kakak di Ipoh) yang pulang pada sebelah petang, pengguna lebuhraya di Plaza Tol Sungai Besi dapat macam-macam hadiah. Dari sampul duit raya, sampai majalah Wanita pun dapat. Huhuhu….rugi la kita yang balik lepas subuh! Angah dari Gombak tiba sebelah malam, tak sempat berbuka di kampung kerana menyiapkan tempahan kuih saat-saat akhir.
Persiapan Raya
Hari Jumaat, sehari sebelum raya, macam biasa kalau di kampung kami mengemas apa yang patut walaupun kebanyakannya emak telah kemaskan sebelum kami semua balik. Cuma bab-bab menyapu dan mengelap lantai tu kami sambung. Sakit lutut emak nampaknya tiada tanda-tanda akan pulih seperti dulu. Apapun, emak masih boleh berjalan walaupun dengan perlahan, tak perlu berpapah. Kadang-kadang emak berjalan kaki saja balik dari masjid dengan emak-emak saudara yang lain beramai-ramai, selepas subuh atau sesudah solat tarawih. Cuma yang paling aku kagum, dengan lutut yang sakit itu emak masih boleh menunai solat tarawih 20 rakaat. Alhamdulillah.
Petang raya, projek membuat (tengok je kekekek) kek coklat kukus bersama bakal Chef Azmah, dari Gombak. Anak murid Chef Liza (ala, yang selalu masak-masak kat tv1 dengan ustaz/ustazah tu, hihiks). Ha, kalau ada sesiapa area Gombak ke, Sentul ke yang nak order kek , boleh la order dengan Angah ni. Dijamin sedap. (10 persen eh Angah, ihihihi)

Tak macam dulu-dulu, raya di kampung sekarang tak ada asap dari belakang rumah. Dulu-dulu, kalau waktu-waktu malam raya atau petang raya biasanya rumah penuh dengan asap kayu merebus ketupat atau dodol yang dikacau di belakang rumah. Sekarang semuanya emak tempah saja. Ketupat tempah, dodol pun tempah. Kuih raya jangan cakap la, memang main tunjuk-tunjuk je. Memang kurang sikit la feel raya tu. Tapi nak buat camana kan, keadaan memaksa. Huhuhu~
Malam raya, ada kumpulan marhaban dari rumah ke rumah. Rasa seronok tengok anak-anak muda kampung yang masih mengekalkan tradisi mulia bermarhaban sambil memungut derma kebajikan.

Pagi Raya
Berlainan dengan sambutan raya di tempat-tempat lain, di kampung kami kemeriahan hari raya sudah dirasai sesudah solat jamaah subuh di masjid. Selalunya, selepas solat jamaah beramai-ramai di masjid, sanak saudara yang terdekat akan mengunjungi rumah untuk minum pagi beramai-ramai, serta bermaaf-maafan. Menu pagi raya kami tahun ini selain ketupat dan rendang, ialah mi hun sup.
Selepas solat sunat hari raya, sesi bergambar beramai-ramai. Wuwuwu…macam studio dah rumah Pak Ipin!
Semua adik beradik dapat balik kampung hari raya tahun ini. Cumanya, tak dapat berkumpul serentak pada satu masa di rumah mak. Jadi tak dapatlah bergambar beramai-ramai 8 beradik dengan emak dan abah.


Gambar adik beradik, dan keluarga masing-masing mengikut urutan. hehe…

Gambar candid abah dan emak. Susah betul nak ajak mak ambil gambar tahun ni. Huhu…

Gambar di atas adalah sebuah keluarga Cina yang memang wajib berkunjung ke rumah kami setiap tahun. Bukan rumah kami saja, rumah pakcik dan makcik sekeliling juga mereka akan datang berkunjung, siap dapat ‘angpau’ lagi dari mereka. Huhu~ Tahun lepas, masa bagi angpau, mereka siap pesan supaya doakan mereka anak beranak selamat pergi-balik bercuti ke London. Muhibah sungguh, kan? hehehe…

Ini Najla dengan Umar. Umar baru 2 tahun lebih. Asyik bergaduh aje dua orang ni. Umar tu tak faham apa sangat lagi. Tak banyak karenah. Tapi kakak Najla tu memang ‘gawwang’ (garang). Apa Umar buat, ada saja yang tak kena pada mata dia. “Umar no buat itu. Umar no buat ini.” Tapi kat rumah Pak Yep haritu, kakak Najla suap Umar pisang la… baru nampak macam kakak yang tak ‘gawwang’. Hihihi…

Gambar atas,
1- Hubby sedang bersembang dengan Pak Yep (bapa saudara sebelah abah)
2- Kami membelek katalog yang mempamerkan lukisan Pak Mat (adik abah) yang terpilih untuk dipamerkan di Pameran Lukisan Terbuka Johor 2007. Pak Mat seorang pesara guru, dan sekarang melukis sepenuh masa. Dia antara pelukis yang terkenal di Melaka.
3- Tasneem dengan dua pupunya (alamak, tak ingat nama cucu Pak Mat ni. Ramai sangat dah anak buah…huhuhu)

Beraya di rumah Pak Mat. Di dinding rumah Pak Mat tu kelihatan siri lukisannya berkenaan bunga sepit udang. Rumah Pak Mat ini sudah menjadi galeri lukisan. Dalam rumah, luar rumah memang penuh lukisan. Jangan terkejut, dekat garaj kereta pun ada lukisan. Hehe…. Dalam gambar di atas, yang berbaju kurung merah, berskaf hitam itu ialah Mak Kiah, isteri Pak Mat.

Atas ni gambar versi skodeng pada petang raya pertama. Macam kena langgar garuda kan diorang ni semua. Kalau orang perempuan kira boleh dipertimbangkan lagi pasal waktu hari raya memang penat ke dapur, memasak, basuh pinggan, basuh cawan, siapkan kuih, buat air dan macam-macam lagi. Ini bukan kes penat buat kerja ni, ini kes penat makan je nampak gayanya ni. Syok jugak kan skodeng masa raya hihihi… (kepada mereka2 yang terlibat dalam gambar, saya dipaksa merakamkan gambar anda semua ekekeke. 0-0 ey?)
Hari raya kedua kami tak berjalan ke mana sangat. Cuma sempat ke Ayer Keroh, beraya ke rumah Syed, kawan lama hubby di MRSM Jasin dulu. 12 tahun tak pernah jumpa lepas-lepas sekolah dulu. Bila jumpa faham-faham aje lah, tak cukup masa nak cerita macam-macam hal. Seronok kan raya? Dapat mengeratkan silaturrahim gitu~

Bergambar bersama keluarga Syed. Yang kenit dalam gambar tu, Lutfi namanya. Anak buah Syed. Comelnya ya Rabbi…macam anak arab pun ada. Keletah! Eee geram. hihihi..

Malam itu kami singgah sebentar untuk solat Maghrib di Masjid Al-Azim, Melaka. Masjid Besar Melaka ini senibinanya unik. Kubahnya tidak seperti masjid-masjid lain dalam negara kita. Seperti ada gabungan senibina Melayu dan Cina. Yang menarik, rekabentuk kubah ini sudah menjadi seperti satu mercutanda (trademark) di Melaka kerana kebanyakan masjid di Melaka memang mengekalkan rekabentuk yang sama, termasuklah masjid di kampung saya, Masjid Jame’ Serkam Pantai.
Saya sempat rakamkan gambar Masjid Al-’Azim ini sebelum balik, tapi tak dapat sudut yang agak menarik. Asal dapat je tu! huhu…
Ok, akan bersambung…. hehe.
sambungan nanti… – “Beraya Dengan Kambing~ huhuhu”